Tarian ‘cuci rasuah’ guna penyapu, tong sampah pada hari kebangsaan dapat pujian PMX
Tarian ‘cuci rasuah’ yang dipersembahkan oleh seramai 515 warga Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya berjaya mendapat perhatian Perdana Menteri.
Tarian unik dengan lontaran tenaga dan keseragaman itu dipuji Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“PM (Perdana Menteri) sebut tadi ia adalah persembahan terbaik… jadi dia sangat gembira,” kata Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil kepada pemberita selepas menghadiri sambutan itu.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata matlamat membanteras amalan rasuah menjadi elemen utama Kerajaan Perpaduan, yang mahu memerangi rasuah secara habis-habisan pada pelbagai peringkat khususnya dalam perkhidmatan awam.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha untuk memeranginya tidak hanya terletak di atas bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak dalam apa jua bentuk tindakan.
“Ini simbol yang perlu kita ketengahkan dan kita telah pilih untuk menjadi sebahagian daripada persembahan bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2024, kerana iltizam dan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk menghapuskan amalan rasuah di negara ini.
“Kita terapkan budaya yang lebih baik dalam kalangan semua pengunjung termasuk penjawat awam dan swasta. Saya harap mesej persembahan ini sampai kepada rakyat negara ini,” katanya.