Tapak perkhemahan di tanah runtuh beroperasi secara haram sejak tahun 2020

Tapak perkhemahan di tanah runtuh beroperasi secara haram sejak tahun 2020

Tiga tapak perkhemahan yang terbabit dalam kejadian runtuhan cerun di Jalan Batang Kali-Goh Tong dikenal pasti beroperasi secara haram sejak 2020, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, ketiga-tiga tapak berkenaan sebaliknya hanya memiliki Kebenaran Merancang untuk aktiviti pertanian organik yang diluluskan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 2019.

Lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm Jalan Genting, Batang Kali. - Foto NSTP/Effendy Rashid
Lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm Jalan Genting, Batang Kali. – Foto NSTP/Effendy Rashid

Sehubungan itu, katanya, pengusaha tapak perkhemahan berkenaan dikenal pasti melanggar peruntukan di bawah Akta Jalan Saliran dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tiga tahun atau denda maksimum RM50,000.

“Kerajaan akan ambil tindakan tegas (ke atas pengusaha). Kedaulatan undang-undang adalah Rukun Negara kita, tiada siapa yang boleh melangkaui undang-undang.

“Malah, tindakan ini bukan hanya tertakluk kepada pengusaha tapak ini, sebaliknya akan diperluas ke seluruh negara. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengeluarkan kompaun manakala Pejabat Peguam Negara (AGC) akan membuat pertuduhan di mahkamah.

“(Semua pengusaha tapak perkhemahan tidak berlesen diminta) hentikan operasi masing-masing, segera mohon lesen sebelum tindakan diambil,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semua tapak perkhemahan tepi sungai diarah tutup

Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming sudah mengarahkan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara diarah tutup selama tujuh hari, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, arahan berkenaan sudah dikeluarkan kepada 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pagi tadi, susulan ramalan hujan lebat berterusan selama lima hari ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku esok.

“Saya tidak mahu lihat lagi kejadian seperti ini berulang. Semua tapak perkhemahan di tepi sungai, air terjun dan lereng bukit yang berbahaya akan dikosongkan selama tujuh hari sehingga kerajaan keluar arahan baharu,” katanya.