Tanah runtuh: Mayat mangsa ke-25, kanak-kanak perempuan ditemukan

Tanah runtuh: Mayat mangsa ke-25, kanak-kanak perempuan ditemukan

Mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemukan di lokasi pencarian insiden tanah runtuh tapak perkhemahanFather’s Organic Farm Gohtong Jaya, dekat sini pada 11.20 malam ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor mengesahkan penemuan mangsa ke-25 itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah mengesahkan penemuan mayat kanak-kanak dianggarkan berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun itu, menjadikan angka korban tragedi berkenaan kini kepada 25 orang.

Mayat kanak-kanak berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

“Saya sahkan penemuan mayat kanak-kanak perempuan tersebut,” katanya ringkas kepada Bernama malam ini.

Suffian memaklumkan maklumat lanjut mengenai penemuan mayat itu akan diberikan pada sidang media, pagi esok.

Menurutnya operasi SAR hari kelima ditangguhkan pada 12 tengah malam ini dan akan bersambung semula pada 8 pagi esok.

Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lalu di tapak perkhemahan itu, setakat ini menyaksikan 61 selamat, 25 nyawa terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit.

Mengikut data dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), seramai 29 daripada keseluruhan mangsa yang terbabit dalam insiden tanah runtuh itu adalah kanak-kanak.

Terdahulu anggota penyelamat menemukan selimut, tong dan peralatan perkhemahan di sektor C (Riverside) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini yang memasuki hari kelima semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Md Ismail, berkata selain sektor C, pihaknya mengulangi pencarian di sektor A (Hill View) dan B (Farm View) bagi mengesan mangsa.