Takut pasangan curang, wanita didakwa beri suami makan ubat mandul
Seorang isteri di China tergamak memberikan suaminya ubat mandul sebagai ‘usaha’ mencegahnya daripada berlaku curang. Isteri berkenaan pada awalnya dilaporkan telah membeli ubat jenis diethylstilbestrol (DES) di sebuah farmasi dalam talian.
Ubat berkenaan yang juga mengandungi dadah estrogen sintetik itu dipercayai mampu membuatkan pemakannya tidak boleh melakukan hubungan seks. Bukan hanya kelihatan ‘sendu’ dan tidak bernafsu, malah ia juga dipercayai mampu membuatkan seseorang lelaki itu mandul.
Itulah yang dilakukan oleh wanita tersebut demi memastikan suaminya itu tidak lagi ‘gah’ di ranjang, sekaligus akan ditinggalkan teman-teman wanitanya. Melalui satu rakaman video yang tular ketika itu, wanita berkenaan memaklumkan bahawa ‘ikhtiar’ ubat tersebut didakwa berjaya dan menjadi.
Berdasarkan laporan, ubat tersebut dikatakan laris dijual di farmasi di sana dengan anggaran kira-kira 100 pembelian setiap bulan. Ia berkemungkinan ‘diborong’ oleh segelintir kelompok isteri yang dipercayai menghadapi isu sama; iaitu dicurangi suami masing-masing.
Bagaimanapun ahli farmasi Hospital Umum Kedua di Hunan, Luo Mo berkata, DES biasanya digunakan bagi membantu masalah kekurangan estrogen dan masalah kitaran haid wanita. Namun kini ubat itu digunakan bagi tujuan lain oleh sebilangan individu seperti kelompok isteri di atas.
Selain dipercayai berisiko memberi kesan buruk kepada fungsi seksual lelaki, ubat berkenaan juga tidak boleh diambil dalam tempoh yang lama ekoran didakwa akan menambah beban pada sistem kardiovaskular serta metabolisma hati.
Jelas Luo lagi, ubat tersebut juga berisiko menyebabkan kanser pada kemaluan. Difahamkan, ia turut diharamkan dalam kandungan makanan dan hanya boleh digunakan atas nasihat doktor.
Sumber: South China Morning Post