Tak sabar nak balik rumah, anak tiupkan rambut mak bikin ramai ketawa

Kanak-kanak biasanya akan menjadi teruja apabila dibawa keluar berjalan dengan ibu bapa. Sama ada keluar membeli belah di pasar raya atau hanya melawat jiran, dapat keluar dari rumah adalah sesuatu yang menyoronokkan bagi kanak-kanak.

Tetapi berbeza pula bagi seorang budak lelaki ini yang keluar bersama ibunya tetapi akhirnya tidak sabar untuk pulang ke rumah.

Sebuah rakaman yang tular di Twitter menunjukkan seorang budak lelaki meniup rambut ibunya supaya cepat kering kerana tidak sabar untuk balik rumah.

Dalam video yang dikongsikan oleh pengguna atas nama ummheyboo, seorang budak lelaki dilihat berada di sebuah salon bersama ibunya yang sedang menjalani rawatan rambut.

Wanita berkenaan sedang bersandar di kerusi sementara pekerja salon mengguna pengering rambut untuk mengeringkan rambut wanita berkenaan.

Namun budak lelaki yang terpaksa menemani ibunya melakukan rawatan rambut di salon itu dapat dilihat membantu meniupkan rambut ibunya supaya cepat kering agar mereka dapat segera balik ke rumah.

Gelagat kanak-kanak tersebut yang tidak sabar untuk meninggalkan tempat yang membosankan itu membuat ramai geli hati.