Tajuddin kantoikan KJ isu komisen RM500 juta beli vaksin Covid-19

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin membidas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman kerana mendakwa ada pihak meraih komisen RM500 juta menerusi pembelian vaksin Covid-19 bernilai RM5 bilion.

“Sekali lagi, kenyataan dibuat tanpa bukti oleh Ahli Parlimen Pasir Salak. Jika ada bukti, sila serahkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Perjanjian Pfizer dan AstraZeneca dibuat secara terus dengan pihak pengeluar,” kata Khairy.

Tajuddin membuat kenyataan itu di Dewan Rakyat namun tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong hujahnya.

Khairy berkata pihaknya bersedia memberikan maklumat terperinci mengenai perjanjian Malaysia berhubung pembelian vaksin Covid-19 kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Khairy berkata, beliau mahu mendedahkan kos yang ditanggung Putrajaya dalam membeli vaksin berkenaan, namun tidak dapat berbuat demikian kerana terikat kepada perjanjian tanpa pendedahan dibuat bersama pihak pengeluar.

“Saya sedia memberi taklimat kepada PAC, yang dipengerusikan (pemimpin) DAP untuk memberi maklumat terperinci bagaimana Malaysia mendapat perjanjian-perjanjian tersebut.

“Saya harap saya dapat (mendedahkan nilai kos pembelian vaksin). Tetapi kita harus hormati kerahsiaan perjanjian yang kita tandatangani dengan pengeluar vaksin. Berharap dapat berikan penerangan kepada PAC, jika mereka setuju tidak dedahkan,” katanya di Twitter.

Harga bagi setiap dos yang dijual kepada Malaysia sehingga kini masih tidak diketahui, kerana Pfizer melakukan perjanjian tanpa pendedahan. Bagaimanapun menurut Khairy, kerajaan menyasarkan untuk mendapatkan vaksin ini pada harga yang bersesuaian.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal, AstraZeneca, bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin COVID-19, iaitu tambahan 10% lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40%, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini dengan COVAX dan Pfizer.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30% rakyat.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/23/tuduhan-komisen-rm500-juta-beli-vaksin-covid-19-tajuddin-cakap-tanpa-bukti-sekali-lagi-kata-khairy/