Tahniah JDT menang Piala FA, tapi sayang pemain JDT tak pandai cakap Johor – Sanusi

Tahniah JDT menang Piala FA, tapi sayang pemain JDT tak pandai cakap Johor – Sanusi

Meskipun Terengganu FC (TFC) tewas kepada JDT (Johor Darul Ta’zim) pada perlawanan akhir Piala FA malam tadi, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak berdiam diri meskipun ‘dibahan’ penyokong Harimau Selatan.

Menerusi perkongsian video terbaru di TikTok hari ini, Muhammad Sanusi menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan JDT atas kemenangan dalam Piala FA.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan (Adun) Jeneri itu sempat berseloroh dengan menyatakan pemain JDT tidak pandai cakap Johor.

“Tahniah JDT menang Piala FA semalam, sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor,” tulisnya.

Menerusi video dimuat naik, kelihatan Muhammad Sanusi bermain biola ketika menghadiri Festival Melodi Sungai Kedah.

Kapsyen itu mengundang pelbagai reaksi netizen dengan sebahagiannya terhibur dan menganggap kapsyen ditulis sekadar gurauan.

Tidak kurang juga yang meminta Muhammad Sanusi supaya tidak kecewa dengan keputusan Piala FA dan menerima kemenangan JDT dengan lapang dada.

Sejak malam tadi, Muhammad Sanusi menjadi ‘bahan’ peminat JDT yang memuat naik pelbagai hantaran berbaur sindiran di laman sosial bagi meraikan kemenangan pasukan mereka.

Ia susulan beberapa video Muhammad Sanusi sebelum ini yang seolah-olah mencetuskan provokasi antaranya dengan menyarung jersi Terengganu FC (TFC) dan kenyataannya bahawa hanya orang Johor yang akan menyokong JDT.

Bagaimanapun, semakan Harian Metro di Instagram (IG) milik Muhammad Sanusi mendapati beliau mengehadkan individu yang boleh menulis di ruangan komen.

Dalam perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi, JDT membenam TFC dengan catatan 3-1.

Kemenangan itu menyaksikan JDT kini hanya tinggal untuk menjulang Piala Malaysia saja pada musim 2022 dalam usaha melengkapkan kejuaraan mereka sebagai pasukan terbaik di negara ini.