Syed Saddiq terharu, terima sumbangan lebih dari RM700k untuk bayar ikat jamin

Syed Saddiq terharu, terima sumbangan lebih dari RM700k untuk bayar ikat jamin

Siapa yang menonton IG live yang dibuat Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam pasti tahu yang beliau memohon pertolongan daripada orang ramai untuk membantunya membayar baki ikat jamin  seperti yang diperintahkan oleh mahkamah pada pagi Khamis 22 Julai 2021.

Duit sumbangan diterima lebih dari RM700,000

Melalui perkongsiannya yang terbaru di media sosial, bekas Menteri Belia dan Sukan ini meluahkan rasa terharu dan terhutang budi selamanya kepada rakyat Malaysia kerana kurang dari 24 jam, beliau mendapat lebih dari RM700,000 dari 9,836 penyumbang.

Beliau juga telah menutup tabung sumbangan kerana dana yang diperoleh melebihi daripada apa yang sepatutnya.

Ada pakcik hulur RM10

Dalam pada itu, Syed Saddiq sempat berkongsi cerita bahawa semasa dia berada di pejabat, seorang lelaki warga emas telah datang dan menghulurkan RM10 kepadanya untuk menyumbang kepada ikat jamin tersebut. Beliau mengakui sangat terharu dan ingin menangis.

 

Terima kasih Malaysia

Diakhir perkongsian tersebut, Syed Saddiq memaklumkan yang dirinya sangat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia.

Beliau mengakui terjun ke bidang politik bukan untuk mengejar jawatan atau kuasa, tetapi untuk membina Malaysia yang maju dan bermaruah.

Terdahulu, ahli politik muda itu telah dibicarakan atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM1 juta daripada dana milik Parti Pribumi Bersatu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Muar berusia 29 tahun berkenaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah setelah pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada Khamis pagi.

Menurut kertas pertuduhan, Syed Saddiq, sebagai ketua pemuda parti itu diberi kepercayaan dana sayap pemuda parti Armada Malaysia, dan didakwa pecah amanah yang mana dia dikatakan melakukan pengeluaran wang sebanyak RM1 juta melalui cek tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu.

Sumber: Instagram Syed Saddiq, FB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman