Syamel & Ernie Zakri pilih 2 Syawal kongsi wajah Nur Khawla

Syamel & Ernie Zakri pilih 2 Syawal kongsi wajah Nur Khawla

 

Pasangan penyanyi popular, Syamel dan Ernie Zakri sepakat memilih tarikh 2 Syawal untuk memperkenalkan anak perempuan mereka, Nur Khawla Soleha yang lahir pada 22 Februari lalu,

Perkongsian itu dibuat penyanyi duet lagu Aku Cinta itu menerusi akaun Instagram masing-masing, sebentar tadi.

Menerusi hantaran yang dimuat naik, Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly berkongsi keterujaan meraikan Aidilfitri bersama puteri sulungnya itu.

“Ini adalah raya pertama kami bersama. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin dari daddy, ibu dan Khawla.

“Terkejut Khawla kali pertama raya secara tiba-tiba,” tulis penyanyi bervokal mantap itu.

 

Syamel dan Ernie mengenakan baju sedondon rona biru sambil memangku Nur Khawla.
Syamel dan Ernie mengenakan baju sedondon rona biru sambil memangku Nur Khawla.

 

Foto dimuat naik itu memaparkan keluarga bahagia ini mengenakan baju sedondon rona biru sambil memangku Nur Khawla.

Sejak menjengah dunia, pasangan terbabit lebih selesa untuk tidak menunjukkan wajah cahaya mata sulung atas alasan masih belum bersedia.

Malah, nama anak mereka yang diambil sempena nama serikandi Islam terkenal itu hanya diumumkan selepas bayi berusia tujuh hari.

Syamel dan Ernie diijabkabulkan di Masjid Puncak Alam, Selangor pada 22 Mac tahun lalu.