Sugarbook: SKMM siasat dakwaan semakin ramai wanita Malaysia tawar diri jadi sugar baby

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dakwaan Sugarbook bahawa semakin ramai wanita di negara ini terutama penuntut universiti menawarkan diri sebagai ‘sugar baby’ di laman web temu janji berkenaan.

SKMM dalam kenyataan hari ini menjelaskan, dakwaan itu yang dilihat seperti gimik pemasaran platform terbabit perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna berisiko diolah sesuka hati bagi tujuan berlainan termasuk bagi memperdaya mangsa.

“Internet dan aplikasinya membuka ruang kepada komunikasi lebih luas dan terbuka termasuk aktiviti tidak bermoral seperti penganjuran parti liar, hubungan terlarang dan aktiviti bertentangan dengan undang-undang seperti penyediaan khidmat pelacuran dalam

talian.

“Kes sedemikian disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kanun Keseksaan dan kami mengambil berat dengan gimik pemasaran Sugarbook, baru-baru ini yang mendakwa semakin ramai wanita Malaysia terutama penuntut universiti menawarkan diri sebagai sugar baby di platform itu,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, selain daripada Sugarbook, terdapat pelbagai aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan temu janji atau percintaan dalam talian.

“Pengguna perlu sedar bahawa mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri.

“Risiko penipuan percintaan akan bertambah dengan terdedah juga kepada ‘malware’ dan ‘spyware’, kebocoran maklumat peribadi dan gangguan seksual,” kata kenyataan itu.

Pihak MCMC menasihatI pengguna aplikasi supaya sentiasa berhati-hati dalam memberikan maklumat peribadi ketika melayari media sosial atau aplikasi dalam talian, terutama dengan individu tidak dikenali di laman cari teman.

“Kami akan terus memantau dan menyiasat bersama PDRM terhadap Sugarbook dan akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu, sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini.

“Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh PDRM.

“Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk sentiasa mengawasi tingkah laku dalam talian anak-anak di bawah jagaan masing-masing dan peka dengan perubahan gaya hidup yang boleh menimbulkan keraguan,” kata kenyataan itu lagi. – HM