Suara sumbang, ‘pitching’ terlalu kelaut – Datuk Mokhzani

Suara sumbang, ‘pitching’ terlalu kelaut – Datuk Mokhzani

 

 

Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail mengulas tentang lagu kontroversi nyanyian usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri dan Baby Shima yang berjudul Baby Sayang.

Menurut laporan Harian Metro, beliau tidak menganggap ia merosakkan industri muzik namun kualiti sesebuah lagu bukan berdasarkan ‘trending’ semata-mata.

 

“Sebenarnya pendengar suka mendengar, termasuk saya nak dengar apa yang tak kena. Memang tak kena kerana selalunya juri cari benda yang salah dalam nyanyian..
“…tapi yang ini nak cari ‘part’ yang betul pun tak jumpa. Kalau dia masuk radio dan keluar di kaca TV lainlah. Kalau dia keluar fizikal CD pun belum tentu ada yang beli,” katanya.

Mokhzani yang sering menjadi juri bagi anugerah berprestij berkata, beliau mengakui nyanyian Aliff berbunyi sumbang manakala Baby Shima pula tiada masalah dari segi vokal.

 

 

“Lain kali panggil orang yang ada ‘telinga’ jaga vokal. Bukan kita tak mahu tolong. Kira okeylah keseluruhannya nak juga dia menyanyi, tapi itulah kena ambil tindakan sebab nak keluar radio tak semudah itu.
“Kita pun bukan tak nak berkompromi soal ini. Lagu ini ‘simple’ dan muzik pun okey. Sesuai dengan konsep, cumanya masalah pada nyanyian,” ujarnya.

Tambah pengarah muzik berusia 55 tahun itu, ‘pitching’ Aliff disifatkan terlalu ‘kelaut’ menyebabkan suaranya tidak sepadan dengan Baby Shima.

Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan Aliff sepenuhnya tetapi mempersoalkan tindakan penerbit yang seperti tidak menggunakan teknologi sedia ada.

 

“Boleh lagi diperbetulkan, tapi tak tahulah penerbit ambil sikap, mungkin silap-silap Datuk ini pun kena kelentong dengan penerbit. Dia kata okey dah tu okey. Dia pun tak tahu apa, kata okey.
“Suara tak sepadan dengan suara Baby Shima. Ya Allah dengar baliklah. Padahal senang saja. Aduii tak tahu nak kata.
“Apapun penerbit sekurang-kurangnya gunakanlah mesin. Sekarang macam-macam boleh buat. Suara katak pun boleh jadi elok,” tambahnya.

Sumber: Harian Metro (Ridzuan Abdul Rahman) , Instagram Datuk Mokhzani & Aliff Syukri