Suami mati dipercayai dibelasah isteri

Suami mati dipercayai dibelasah isteri

 

 

 

 

 

Seorang suami ditemui maut selepas disyaki dipukul sehingga mati oleh isterinya sendiri dalam satu kejadian di kawasan perumahan Flat Nipah, Taman Daya, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat yang mengesahkan perkara itu berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di dalam rumahnya.

Menurut beliau, mangsa berusia 44 tahun manakala suspek berusia 35 tahun.

“Polis mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.50 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan suspek di kawasan sekitar.

“Anak lelaki sulung pasangan itu merupakan saksi kepada kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Tambah Raub, suspek akan dikenakan perintah reman manakala motif dan senjata digunakan suspek masih dalam siasatan polis.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sementara itu, menurut sumber, suspek dijumpai dalam keadaan kakinya terikat dan terdapat kesan lebam di bahagian sebelah kanan mukanya.

Sumber turut memberitahu, suspek telah ditahan polis dikawasan sekitar kira-kira pukul 9.40 pagi tadi ketika dipercayai cuba melarikan diri.

Menurut seorang jiran yang ingin dikenali sebagai Zarina, 46, pasangan suami isteri berkenaan kerap bergaduh sesama mereka dan wanita tersebut pernah ditahan polis sebelum ini.