Suami isteri mengaku bersalah dera anak angkat dikenakan denda RM20,000 seorang

Suami isteri mengaku bersalah dera anak angkat dikenakan denda RM20,000 seorang

 

Sepasang suami isteri yang videonya tular mendera kanak-kanak perempuan berusia empat tahun masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fitri Jasmani Josmani, 30, yang merupakan warganegara Singapura dan isterinya, Amira Hamzah, 28, warga tempatan selepas pasangan itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atas mereka.

Sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar jumlah denda itu mereka masing-masing boleh dipenjara selama 12 bulan.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya secara bersama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak kanak perempuan  berusia empat tahun telah menganiayanya sehingga menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Eco Majestic, Semenyih di sini pukul 1.25 tengahari antara bulan April 2022 hingga 18 Julai 2022 yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) akta kanak kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan tiada niat untuk mendera mangsa sebaliknya bimbang dengan kesihatan anak angkat mereka berhubung pemakanan.

“Kami minta maaf…. tiada niat mendera, sebenarnya kami cuma hendak pastikan dia (mangsa) makan dan tidak kurang zat dalam badan,” kata Muhammad Fitri.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid dalam hujah pemberatannya berkata, kedua-dua tertuduh tidak amanah dan tidak bertanggungjawab dalam menjaga mangsa.