Stor sisa pukal di bangunan Kementerian Kewangan dilaporkan terbakar

Stor sisa pukal di bangunan Kementerian Kewangan dilaporkan terbakar

PUTRAJAYA – Sebuah stor di bangunan Kementerian Kewangan Malaysia yang mengandungi sisa pukal dilaporkan telah terbakar dalam kejadian pada petang tadi.

Memetik laporan Sinar Harian, insiden tersebut dipercayai berlaku di stor aras G kementerian itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, beliau berkata kejadian tersebut disedari oleh pekerja penyelenggaraan elektrik.

 

“Pada masa sama, pekerja penyelenggaraan telah cuba untuk memadamkan kebakaran, namun gagal kerana kepulan asap yang tebal.

“Pekerja penyelenggaraan elektrik kemudiannya memaklumkan kepada anggota Polis Bantuan Bertugas untuk tindakan susulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, siasatan awal pihak bomba mendapati bahawa punca kejadian dipercayai berlaku akibat daripada percikan api ketika kerja pengubahsuaian penyelenggaraan yang terkena longgokan kertas lama.

“Bagaimanapun punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.

“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh pihak bomba sepenuhnya pada jam 4.30 petang,” tambahnya.

Pun begitu, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku, malah jumlah kerugian juga masih belum dikenal pasti ekoran insiden berkenaan.

Sumber: Sinar Harian