Solat subuh berjemaah, di hadiahkan basikal

Solat subuh berjemaah, di hadiahkan basikal
Ustaz Mohd Noor Omar (dua dari kiri) dan Tok Siak, Kamaruddin Mohamed ,65, bergambar bersama kanak-kanak yang hadir solat berjemaah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Ustaz Mohd Noor Omar (dua dari kiri) dan Tok Siak, Kamaruddin Mohamed ,65, bergambar bersama kanak-kanak yang hadir solat berjemaah. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: “Tidak dinafikan ibadat memerlukan keikhlasan. Namun hadiah basikal ini hanya strategi awal bagi menarik minat dan menjadi motivasi anak-anak untuk solat berjemaah di masjid,” kata Imam II Masjid Nur As-Sa’adah, Ustaz Mohd Noor Omar, 58, dari Kampung Pengkalan Batu, dekat sini.

Menurutnya, 40 basikal berharga RM20,000 disediakan sebagai ganjaran untuk kanak-kanak dan remaja yang hadir solat Subuh berjemaah selama 40 hari menerusi program Subuh Istiqamah 40 Hari bermula 9 Februari lalu hingga 20 Mac depan.

Mohd Noor berkata, pihaknya menyasarkan kanak-kanak bawah usia 12 tahun ke bawah, dan 12 tahun hingga 23 tahun menyertai program itu.

“Mereka ini 10 tahun lagi akan jadi orang dewasa dan diyakini dapat terus mengimarahkan masjid jika istiqamah solat berjemaah selama 40 hari.

“Ini kerana Rasulullah SAW bersabda, sesiapa yang solat berjemaah selama 40 hari, dia mendapat dua pelepasan iaitu pelepasan daripada api neraka dan pelepasan daripada menjadi orang munafik,” katanya ditemui di Masjid Nur As-Sa’adah di sini.

Menurut beliau, mereka yang memenangi basikal juga akan dipilih sebagai sukarelawan masjid dan duta masyarakat termasuk membantu jawatankuasa masjid dalam mengajak golongan dewasa untuk solat berjemaah.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Nur As-Sa’adah, Datuk Amzah Osman berkata, idea berkenaan timbul secara spontan selepas beliau dilantik ke jawatan itu 1 Februari lalu bagi mengimarahkan masjid.

Menurutnya, pada awalnya, beliau hanya membeli dua basikal berharga RM400 setiap satu yang digantung di dinding luar sebelum ruang solat masjid sebagai pembakar semangat kepada kanak-kanak dan remaja berusia bawah 20 tahun untuk memilikinya.

“Sekarang ini hampir 30 jemaah kanak-kanak memenuhi masjid dan dapat penuh lima atau enam saf berbanding sebelum ini hanya satu atau dua saf saja.

“Saya rasa terharu kerana program ini dapat sambutan menggalakkan apabila setakat ini kita sudah edarkan hampir 100 kad yang mana jemaah kanak-kanak dan remaja ini perlu dapatkan cop daripada noja masjid selepas solat subuh setiap hari.

“Saya bersyukur apabila program ini tular, semakin ramai pihak tampil untuk menyumbang basikal sehingga 40 buah,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Amzah berkata, program itu tidak membabitkan penggunaan wang tabung masjid, sebaliknya sumbangan rakan, ahli keluarga dan orang ramai.

“Program ini tidak menggunakan satu sen pun duit masjid, malah ada rakan-rakan yang sanggup menghadiahkan dua motosikal untuk diberikan pula kepada jemaah dewasa pada program akan datang.

“Insya-Allah, program hadiah motosikal ini kita akan buat minggu depan dalam usaha mengimarahkan solat lima waktu sama seperti Solat Jumaat,” katanya.

Untuk rekod pada 2019 jawatankuasa Masjid Mahmud di Bachok, Kelantan, dilaporkan pernah melaksanakan inisiatif sama bagi menarik kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun hadir ke masjid sepanjang Ramadan dengan memberi ganjaran basikal.