Singapura umum bakal mansuhkan undang-undang larangan hubungan seks sejenis

Singapura umum bakal mansuhkan undang-undang larangan hubungan seks sejenis

 

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong memaklumkan bahawa akan memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan Singapura era penjajah yang sekaligus menyaksikan hubungan seks sesama lelaki dibenarkan di negara itu, lapor CNN.

Walau bagaimanapun, perkahwinan sejenis akan terus diharamkan di negara tersebut.

“Seks antara lelaki secara rela tidak seharusnya menjadi jenayah. Tidak ada justifikasi untuk mendakwa orang ramai ke atasnya atau menjadikannya sebagai jenayah.

“Saya percaya pemansuhan adalah perkara yang betul untuk dilakukan dan boleh diterima oleh kebanyakan rakyat Singapura.

“Ini akan membawa undang-undang selaras dengan adat istiadat sosial semasa dan berharap memberi sedikit kelegaan kepada golongan pasangan sesama sejenis di negara ini,” katanya pada ucapan dasar tahunan, Perhimpunan Hari Kebangsaan yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Tambahnya lagi, golongan gay juga mahu menjalani kehidupan dan mengambil bahagian dalam komuniti serta menyumbang sepenuhnya kepada negara itu.

“Seperti di negara lain, kita juga mempunyai golongan gay, mereka adalah rakan sekerja, kawan dan ahli keluarga kita,” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya kerajaan tidak akan mengubah undang-undang perkahwinan negara malah memperkukuhkan lagi undang-undang tersebut.

“Kami akan melindungi takrif perkahwinan seperti yang terkandung dalam Akta Tafsiran dan Piagam Wanita daripada dicabar secara perlembagaan di mahkamah.

“Kami perlu meminda perlembagaan untuk melindunginya dan akan berbuat demikian.

“”Kami akan  memperkukuh kepentingan keluarga melalui dasar negara dan kerajaan akan mencari jalan terbaik mengenai isu-isu tersebut,” katanya.

Seksyen 377A Kanun Keseksaan Singapura telah dikuatkuasakan pada tahun 1938 oleh kerajaan kolonial British semasa Singapura menjadi tanah jajahannya.

Sementara itu, aktivis LGBT di Singapura telah lama menyeru agar undang-undang itu dibatalkan.

Pada 2007, kerajaan Singapura memansuhkan bahagian Seksyen 377 undang-undang jenayahnya selepas semakan menyeluruh tetapi mengekalkan 377A.

Manakala, pada Februari 2022, Mahkamah Rayuan Singapura memutuskan bahawa seksyen itu akan kekal dalam undang-undang, tetapi ia tidak boleh dikuatkuasakan untuk mendakwa lelaki kerana melakukan hubungan seks sesama sejenis.

Sumber: CNN