Sindiran MP Bintulu terhadap Dr. Noor Hisham adalah tidak masuk akal, bidas Timbalan Menteri KKM

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali membidas pihak yang mempersoalkan kredibiliti dan komitmen Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam usahanya menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Menurutnya, Dr Noor Hisham antara individu paling komited dan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat Malaysia terjaga sejak wabak Covid-19 menular pada Februari lalu.

“Saya terkejut apabila ada individu tertentu sama ada orang awam mahupun ahli politik tergamak mempertikaikan kredibiliti serta pengorbanan beliau dalam membanteras wabak Covid-19 di negara ini.

“Jika kita merujuk kepada ‘frontliners’ (barisan hadapan), Dr Noor Hisham merupakan orang nombor satu atau paling depan dalam barisan hadapan yang berperang dengan virus Covid-19 selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Dr Noor Hisham telah mendedikasikan sebahagian besar kehidupannya dalam menjaga aspek kesihatan rakyat di negara ini dan bukan hanya ketika wabak Covid-19 melanda sahaja.

Menurut Dr Noor Azmi, beliau bukan sahaja menyokong Dr Noor Hisham disebabkan mereka bersama-sama dalam Kementerian Kesihatan tetapi kerana tahu bagaimana Ketua Pengarah Kesihatan itu bekerja, menjalankan tanggungjawab dan amanahnya setiap hari untuk memastikan wabak maut itu dapat dihapuskan di negara ini.

“Kami di Kementerian Kesihatan termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Dr Noor Hisham setiap hari akan bermesyuarat, berbincang dan bertukar idea seawal jam 8 pagi sehingga lewat petang mencari penyelesaian membanteras penularan Covid-19 yang sudah memasuki gelombang ketiga.

“Semua pihak memberi komitmen sepenuhnya, apatah lagi Dr Noor Hisham sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pastinya mesti menunjukkan contoh terbaik kepada warga kesihatan lain.

“Tindakan pihak tertentu mempertikaikan amanah yang telah dilaksanakan oleh beliau adalah tidak bertanggungjawab serta tak masuk akal,” katanya.

Kelmarin, persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila kenyataan ‘DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati’ dikeluarkan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

King Sing ketika membahaskan Rang Undang-undang itu mempersoalkan mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi Covid-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung di televisyen.

Sumber: Sinar Harian