Warganet pertikai tindakan siak masjid rotan kanak-kanak ketika solat Jumaat
Netizen kesal dengan tindakan seorang siak masjid di Selangor yang merotan kanak-kanak ketika solat Jumaat sehingga menyebabkan kesan berbirat.
Menurut perkongsian Tragedi Apa Hari Ini di Facebook, seorang pengguna dikenali sebagai Risalizah Manaf memuat naik gambar anaknya yang mengalami luka berbirat selepas dirotan oleh siak masjid ketika solat Jumaat.
“Ini kali pertama Afnan solat di masjid itu, tapi dapat pengalaman tak best (seronok) pula.
“Rupanya sebelum siak itu masuk saf, dia akan rotan secara random (rawak) mana-mana budak (kanak-kanak) sebagai amaran supaya budak lain tak bising sebab dia risau bila dia dah masuk saf nanti tiba-tiba ada budak bising atau lari-lari.
“Tak sangka pulak yang kena libas hari itu anak saya,” katanya.
Dalam pada itu, di ruang komen hantaran berkenaan, rata-rata netizen kesal dan tidak bersetuju dengan tindakan siak merotan kanak-kanak yang hadir ke masjid ketika solat Jumaat.
Tindakan terbabit boleh menyebabkan kanak-kanak tawar hati dan takut untuk berkunjung ke masjid kerana mempunyai pengalaman yang kurang menyenangkan.
“Siak masjid berkenaan perlu memberi nasihat terlebih dahulu kepada kanak-kanak terbabit dan tidak perlu merotan”, kata Ruslan Abwahab.
“Macam mana nak imarahkan masjid dengan golongan muda? Tak pasal-pasal budak tu kena libas. Ada caranya untuk mendidik, tapi bukan memukul tanpa usul periksa”, kata Hisham Zainal.
Pengguna Facebook, Mohd Zaidi, berkata masjid adalah tempat kegembiraan, bukan tempat untuk menyakiti sesiapa.
“Masjid bukan hak AJK (ahli jawatankuasa), tuk imam (imam) dan tuk siak (siak). Mereka hanya pemegang amanah untuk menjaga masjid itu. Kesian budak itu tak pasal-pasal kena libas,” kata Nik Faiz Nik Ahmad.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata polis mengesan satu kes tular di media sosial mengenai kejadian seorang kanak-kanak berumur 11 tahun dirotan siak ketika solat Jumaat di sebuah masjid di Gombak yang tular sejak semalam.
Katanya, pengadu warga tempatan berusia 39 tahun membuat laporan polis anaknya dirotan siak masjid pada 30 Ogos lalu.
“Bagaimanapun, dia menarik balik laporan polis kerana telah menyelesaikan perkara terbabit secara baik.
“Kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya dalam satu kenyataan.