Shafie persoal peruntukan tidak seimbang untuk Sabah

Dana yang diperuntukkan untuk Menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebaiknya digunakan untuk penyambungan kontrak atau menyerap pekerja kontrak Kementerian Kesihatan (KKM), kata Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna).

Apatah lagi, kata Shafie, berdasarkan pengalamannya dalam kerajaan, ada jabatan kerajaan sedia ada – iaitu Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) – yang boleh memainkan peranan Jasa.

“Pekerja kontrak di Kementerian Kesihatan haruslah disambung atau diserapkan. Mereka ini wira negara, mereka harus diberi penghormatan sebaik-baiknya.

“Dalam situasi hari ini, kenapa Jasa perlu diberi peruntukan begitu besar. Sedangkan peranan Jasa boleh dimainkan oleh Kemas,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk rekod, Shafie menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia pada 2009 hingga 2015. Kemas terletak di bawah kementerian itu.

Kerajaan memperuntukkan RM85.5 juta menerusi Belanjawan 2021 untuk menghidupkan semula Jasa – yang dikenali sebagai penyebar propaganda kerajaan BN sebelum ini.

Menurut anggaran perbelanjaan persekutuan, terdapat dua peruntukan untuk unit itu di bawah belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Peruntukan pertama sebanyak RM4 juta di bawah belanjawan komunikasi strategi dan peruntukan kedua sebanyak RM81.5 juta di bawah dasar baru.

Jumlah kedua-duanya, iaitu RM85.5 juta, adalah peningkatan 185 peratus daripada RM30 juta yang diperuntukkan kepada jabatan itu oleh kerajaan BN menerusi Belanjawan 2018.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata Sabah sebagai sebuah negeri yang besar seharusnya mendapat belanjawan yang sewajarnya.

Menurut laporan Berita Harian pada 6 November lalu, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata Sabah menerima RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur dan RM3.8 bilion untuk projek lebuh raya Pan Borneo dan lain-lain daripada belanjawan kali ini.

Shafie berkata Sabah lazimnya hanya menerima RM5 bilion atau RM9 bilion daripada belanjawan persekutuan.

“Saya juga berharap Sabah sebagai sebuah wilayah yang mempunyai jumlah penduduk yang besar, hampir 4 juta orang, dan keluasan tanah yang besar, harus mendapat peruntukan yang jauh lebih berpatutan (wajar) kerana di sini terletaknya jumlah miskin tegar yang agak ramai walaupun negerinya kaya dengan pelbagai sumber.

“Mana mungkin setiap kali belanjawan dibentangkan, hari ini RM322 bilion, sebelum ini sebanyak RM270 bilion, negeri Sabah hanya memperolehi RM5 ataupun RM9 bilion daripada peruntukan itu,” katanya.

Sumber: Malaysiakini