“Setiap ujian pasti ada hikmahnya” – Ibu positif tahap 2, Aisar Khaled mohon doa semua
Personaliti media sosial, Aisar Khaled menerusi hantaran di Instagram memohon orang ramai mendoakan kesembuhan ibunya yang disahkan positif Covid-19 tahap dua.
Aisar dalam posting itu dilihat menghantar ibu menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang, Selangor.
Memetik laporan mStar Online, personaliti media sosial ini berkata, ibunya Roslina Abdul Rashid kurang sihat sejak dua hari lalu. Dia kemudiannya membawa ibu ke sebuah klinik swasta untuk membuat swab test. Hasil ujian itu, ibu disahkan positif wabak.
Ibu mula demam dan tak sihat selepas menerima suntikan vaksin dos kedua minggu lepas… tapi semasa itu hanya demam on off sahaja. Dua hari lepas dia demam semula, jadi semalam saya bawa ibu buat swab test.
Tambah jejaka tinggi lampai ini, dia sendiri tidak tahu dari mana ibu mendapat jangkitan kerana ibunya hanya berada di rumah dan sesekali keluar ke kedai berhampiran membeli barangan keperluan harian.
Mengakui terlalu sedih, Aisar menitiskan air mata sebaik mengetahui keputusan swab test ibu. Malam itu, mereka sekeluarga melakukan solat jemaah bersama-sama.
Saya takut! Saya tak pernah rasa kehilangan orang tercinta. Tapi saya reda mungkin ini ujian Allah bagi tanda sayang pada kita.
Pesan saya kepada yang ada ibu tu hargailah mereka, berbuat baiklah dengan keluarga. Mungkin ujian ini akan buatkan saya lebih menghargai orang sekeliling.
Jelas Aisar, dia dan ahli keluarga yang lain akan melakukan swab test secepat mungkin dan menjalani kuarantin kendiri di rumah. Di kesempatan itu, dia memohon orang ramai mendoakan ibunya segera pulih.
Kredit: Instagram Aisar Khaled , mStar Online