Serpihan roket China cuma lintas Sarawak, jatuh di laut Sulu

Serpihan roket China cuma lintas Sarawak, jatuh di laut Sulu
Rakyat negara ini tidak perlu cemas kerana serpihan roket Long March 5B milik sebuah agensi China disahkan jatuh memasuki Laut Sulu berdekatan tenggara Filipina.
Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di sini, sisa roket tersebut direkodkan jatuh di kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur.
“Serpihan roket berkenaan sebenarnya sudah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakannya turut melintasi beberapa kawasan sekitar Sarawak sahaja,” jelasnya.
Kementerian itu memaklumkan bahawa pemantauan secara berterusan pihaknya dilakukan menerusi Agensi Angkasa Malaysia selain kenyataan rasmi Agensi Angkasa China sendiri.
Berdasarkan laporan daripada pelbagai media antarabangsa, serpihan berkenaan dikesan telah memasuki ruang udara bumi kira-kira pukul 12.55 tengah malam tadi waktu Malaysia.
Pusat kawalan angkasa lepas Amerika Syarikat melalui ciapan dalam laman sosial rasmi Twitter melaporkan ia menembusi Lautan Hindi sebelum bergerak menuju ke Asia Tenggara.
Sisa itu akhirnya tenggelam sekitar perairan Laut Sulu berhampiran Palawan, sebuah pulau tenggara Filipina dengan jarak kira-kira 555 kilometer dari ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu.
Bagaimanapun serpihan difahamkan tidak mendarat di mana-mana kawasan berpenduduk sebagaimana kes sebelum ini apabila terjatuh di Ivory Coast, sebuah negara di barat Afrika.
Ia dipercayai antara sebahagian daripada modul kedua roket yang dilancarkan ke stesen angkasa China di orbit iaitu Tiangong dari tapak pelancaran di Wenchang pada 30 Julai lalu.