Serang ibu bapa guna pisau semasa solat tarawih

Serang ibu bapa guna pisau semasa solat tarawih

SEBERANG PERAI – Seorang wanita cedera terkena pisau semasa cuba mengelak serangan anak lelakinya yang bersenjatakan dua bilah pisau di sebuah rumah di Taman Orkid, Kepala Batas di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu berlaku ketika ibu bapa suspek sedang menunaikan solat tarawih berjemaah di ruang tamu rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek berusia 29 tahun telah keluar dari bilik dan mengambil dua bilah pisau dapur sebelum cuba menyerang ibu bapanya.

“Lelaki itu telah menghalakan pisau berkenaan ke arah ibunya sebelum bapa suspek menolaknya bagi mengelakkan mereka dicederakan.

“Pisau itu kemudiannya terkena lengan ibunya kerana cuba menghalang pisau dengan tangan dan suspek terjatuh, namun tidak melawan selepas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noorzainy berkata, akibat kejadian tersebut, ibu suspek berusia 56 tahun mengalami luka sedalam 2 sentimeter (sm) dan sepanjang 6 sm pada lengan kiri serta menerima 10 jahitan.

Beliau berkata, pihaknya yang menerima laporan daripada adik perempuan suspek kemudiannya berjaya menahan lelaki itu di rumah berkenaan kira-kira pukul 10.15 malam.

“Kita turut merampas dua bilah pisau dapur sepanjang 27 sm dan 31 sm berhulu plastik.

“Siasatan lanjut turut mendapati suspek positif dadah dan mempunyai masalah mental sejak 2016,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE