Sentuh bahu pelajar perempuan, pak guard sekolah didakwa kesalahan seksual

Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan kesalahan seksual kanak-kanak dengan menyentuh bahu seorang pelajar perempuan pada Isnin lepas.

Muhammad Afiq Mohamed Zahari, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan maksud seksual telah menyentuh kedua-dua bahu kanak-kanak berusia 13 tahun itu dari belakang menggunakan tangannya di dalam kawasan sekolah kira-kira 5.14 petang 25 Jan lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizudin Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun tertuduh memohon supaya dibenarkan ikat jamin kerana mempunyai isteri dan seorang anak.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 1 Mac untuk sebutan semula kes. – FMT