Sempat berwuduk sebelum masuk ICU, ayah meninggal dunia akibat COVID-19

Sempat berwuduk sebelum masuk ICU, ayah meninggal dunia akibat COVID-19

Luluh hati bila orang yang tersayang pergi buat selamanya dan jasadnya tidak boleh didekati dan dilihat buat kali yang terakhir. Itulah realiti yang perlu dihadapi akibat daripada situasi pandemik COVID-19 yang semakin kritikal pada ketika ini.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kehilangan ahli keluarga disebabkan oleh virus itu sememangnya sesuatu yang sangat sukar untuk dihadapi tetapi ia tetap perlu diterima dengan tabah.

Sama seperti yang dikongsikan oleh Dena Bahrin di Twitter, bapanya meninggal dunia selepas beberapa hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat jangkitan COVID-19.

Menurutnya, bapanya disahkan positif COVID-19 pada 7 Mei dan diikuti oleh ibunya dan dirinya sendiri pada 10 Mei yang lalu.

Detik-detik terakhir sebelum pemergian bapanya juga turut dikongsikan oleh kakaknya, Sakinah Kamarul Bahrin yang juga merupakan seorang doktor. Sakinah berkongsikan video yang memperlihatkannya membantu bapanya yang ingin berwuduk sebelum dimasukkan ke dalam ICU.

Bapanya pada ketika itu dipercayai berada dalam keadaan kritikal sehingga tidak mampu untuk bercakap kerana mengalami sesak nafas.

 

“Sempat cakap dengan abah, abah, semua urusan abah di dunia ni abah jangan risau, nor take over, kami semua uruskan,” tulisnya di Instagram.

Ramainya sayang abah

 

Pemergian bapa mereka itu turut dirasai oleh semua warganet dengan kiriman doa dan kata semangat buat ahli keluarganya.

Salam takziah untuk ahli keluarga Dena dan Sakinah, semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Semoga perkongsian ini juga menyedarkan orang ramai mengenai bahaya COVID-19.

Sumber: Dena Bahrin, Sakinah_kb