Selepas Razlan Timbalan Presiden Umno pula diminta jalani kuarantin

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diminta menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari selepas mempunyai kontak rapat dengan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii yang disyaki positif Covid-19.

Menurutnya, beliau telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusannya negatif.

“Dah diarahkan supaya kuarantin di rumah selama 14 hari oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selepas ada kontak rapat dengan Datuk Razlan pada 13 September lalu di Sipitang.

“Alhamdulillah, ujian pertama swab hidung (nasal swab) negatif. Ujian kedua pada Jumaat ini.

“Walaupun negatif, KKM tetap arahkan saya supaya jalani kuarantin di rumah,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad meminta maaf kepada rakan sekutu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana tidak dapat meneruskan kempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Semoga kita beroleh kejayaan pada 26 September nanti. Insya-ALLAH,” katanya.

Sumber : Sinar Harian