Selepas berjaya “gulingkan” Peja, Saarani ajak semua pihak bekerja bersamanya

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengajak semua pihak untuk bersama-sama bergerak ke depan dengan melihat secara menyeluruh dan bekerja secara berpasukan demi kepentingan dan kebajikan rakyat Perak.

Menurutnya, tanpa sokongan serta dokongan daripada pelbagai pihak sudah pasti beliau tidak mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai peneraju negeri dan tugas yang dipikul pada hari ini adalah satu tugas yang mencabar.

“Pada waktu yang sama saya menginsafi bahawa jawatan MB (Menteri Besar) ini bukanlah untuk dibanggakan kerana yang datang bersama jawatan ini adalah tanggungjawab besar yang perlu saya pikul dan jawatan ini datang bersama-sama dengan amanah yang perlu saya lunaskan kerana Allah SWT.

“Jadi saya sedar saya insaf sebaik sahaja saya mengangkat sumpah sebagai MB maka di atas bahu saya terletaknya segala amanah dan tanggungjawab untuk saya tunaikan bagi membangunkan negeri Perak ini dan untuk kebajikan serta kepentingan seluruh rakyat negeri. Sudah tentu saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada semua pihak. Jadi saya bersyukur dan insafi… menyedari ini adalah tanggungjawab yang sangat besar yang perlu saya lunaskan hari ini,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama UMNO-Online.

Jumaat lalu Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Saarani seterusnya berkata, hari ini adalah masa untuk bekerja dan tentunya memerlukan rakan sepasukan untuk bergerak ke depan dalam merancang serta melaksanakan pembangunan di negeri Perak.

Jelasnya walaupun datang daripada parti yang berbeza dan daripada falsafah yang berbeza namun keikhlasan antara satu sama lain bakal menyatukan semua pihak.

“Saya tidak boleh menunaikan tanggungjawab ini bersendirian dan sudah tentu saya perlukan pasukan kerja yang jitu… saya perlukan pasukan kerja yang bersedia bersama-sama untuk menunaikan tanggungjawab ini. Jadi oleh kerana tertubuhnya kerajaan ini berasaskan kepada tiga parti utama iaitu UMNO, Bersatu dan juga PAS maka sudah tentu saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada selain daripada rakan-rakan 24 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO… saya perlukan sokongan dan dokongan daripada empat orang rakan-rakan ADUN Bersatu dan juga sokongan Adun PAS.

“Jadi dengan sokongan serta dokongan ini walaupun kita datang daripada parti yang berbeza, daripada falsafah yang berbeza tetapi saya percaya jika kita mempunyai keikhlasan untuk tujuan yang sama iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat kerana Alah SWT maka insya-Allah, Allah akan satukan hati-hati kita ini.

“Jadi daripada kesatuan hati itulah saya percaya kita insya-Allah akan dapat mengorak langkah apatah lagi di awal tahun 2021 kita sedar pandemik COVID-19 sedang menanti dan dengan keadaan itu kita perlu melihat ke depan.”

Maklumnya juga, beliau telah mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua jabatan dan hasrat yang sama diminta agar sokongan dan dokongan diberikan.

“Dalam perjumpaan saya dengan ketua-ketua jabatan, saya dah sebutkan marilah bekerja bersama saya dan terimalah saya seadanya dan saya tidak ‘perfect’, saya tidak sempurna dan saya yakin ketidaksempurnaan saya itu dapat ditampung oleh kekuatan yang ada di kalangan ketua-ketua jabatan kerajaan,” ujarnya lagi.

Sumber: https://umno-online.my/2020/12/14/marilah-bekerja-bersama-saya-bergerak-ke-depan-demi-rakyat-perak-saarani/