Selepas 11 tahun, Lee Kwang Soo sah tinggalkan Running Man dengan sebab…

Selepas 11 tahun, Lee Kwang Soo sah tinggalkan Running Man dengan sebab…

LEE Kwang Soo akan meninggalkan program realiti “Running Man” yang telah dibintanginya selama 11 tahun.

Perkara itu disahkan agensi yang diwakilinya King Kong by Starship melalui satu kenyataan pada Selasa.

“Lee Kwang Soo akan meninggalkan program “Running Man” SBS setelah rakaman terakhirnya pada 24 Mei.

 

“Selepas terlibat dalam kemalangan kereta tahun lalu, Kwang Soo telah menerima terapi fizikal secara berkala.

 

“Walaupun masih menjalani rawatan, ada kalanya dia merasa sukar untuk menjaga keadaan fizikal yang baik semasa penggambaran ‘Running Man’.

 

“Hasilnya, Lee Kwang Soo mengadakan perbincangan panjang lebar dengan staf produksi, kru, rakan-rakannya dan juga agensi tersebut serta akhirnya sampai pada kesimpulan bahawa dia memerlukan masa untuk pulih, baik dari segi fizikal dan juga mental,” kata agensi berkenaan.

 

Pelakon popular itu dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan pada 15 Februari lalu.

 

Akibat perlanggaran itu, Kwang Soo akan menjalani pembedahan buku lali petang ini, lapor Soompi.

 

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut menyatakan “Running Man” merupakan rumah buat Kwang Soo selama 11 tahun dan sukar untuknya membuat keputusan ini.

 

“Namun, itu tidak dapat dielakkan ketika mempertimbangkan niatnya untuk menunjukkan imej yang lebih baik kepada penonton di masa depan.

 

“Kami dengan tulus mengucapkan terima kasih kepada semua penonton atas cinta yang mereka tunjukkan kepada Kwang Soo di ‘Running Man’, dan Kwang Soo berjanji akan menyambut anda sekali lagi dengan keadaan kesihatan yang lebih baik,” jelasnya.

 

Kwang Soo merupakan antara individu pertama yang menerajui “Running Man” sejak program itu disiarkan pada tahun 2010.