“Sebulan yang paling berat dalam hidup saya..,” Positif Covid-19, sampai hilang deria bau & rasa

“Sebulan yang paling berat dalam hidup saya..,” Positif Covid-19, sampai hilang deria bau & rasa

“Masuk hospital tanpa Covid, keluar hospital dengan Covid.” Demikianlah yang ditulis oleh seorang bekas pesakit Covid-19 menerusi ciapannya di Twitter baru-baru ini.

Berkongsi cerita dengan SK, wanita yang dikenali sebagai Wani ini berkata dalam tempoh sebulan itu adalah mimpi negeri buatnya selepas dia disahkan positif Covid-19 selepas menerima rawatan sebagai pesakit biasa di wad kecemasan.

Bukan itu sahaja, wanita ini juga terpaksa menahan rindu kepada keluarga tercinta. Tempoh sebulan bukannya sekejap.

 

Perkongsian ini bukanlah untuk memburukkan mana-mana pihak sekaligus memberi peringatan kepada orang ramai tentang bahaya wabak virus Covid-19 ini. Semoga perkongsian ini memberi pengajaran dan teladan kepada kita semua agar lebih berhati-hati menjaga kesihatan diri dan keluarga.

MASUK HOSPITAL TANPA COVID, KELUAR HOSPITAL DENGAN COVID

 

In the name of Allah, Most Gracious and Most Merciful. Tujuan saya berkongsi ini bukan untuk memburukkan mana-mana pihak, tapi sebagai peringatan kepada anda semua yang saya kasihi.

 

Kawan-kawan, jagalah kesihatan anda terutama di musim pandemik ini. Janganlah sampai terpaksa ke hospital. Kalaupun ada isu kesihatan serius yang memerlukan anda ke bahagian kecemasan di hospital (isu kesihatan yang bukan berkaitan Covid), dan memungkinkan anda dimasukkan ke wad, tolonglah terus ke hospital swasta yang tidak sesak. Elakkanlah hospital kerajaan. Jangan jadi saya. Sejuta kali menyesal pun tiada gunanya.

“Kenyataan pahit ini saya alami sendiri.”

Bukan kerana hospital kerajaan tidak bagus, bukan. Hospital kerajaan tentu saja bagus, malah doktor pakar juga ramai berpusat di situ. Tapi hakikatnya di musim pandemik ini, semua hospital kerajaan sudah terlalu sarat dan kemungkinan besar kurang selamat. Kenyataan pahit ini saya alami sendiri.

Pada 6 Jun yang lalu, saya telah jatuh sakit dan dikejarkan ke sebuah hospital kerajaan atas masalah kesihatan yang tidak berkaitan dengan Covid. Walaupun begitu, saya dimasukkan ke dalam wad saringan Covid / pre-covid ward, sedangkan keputusan ujian RTK + PCR saya pada waktu itu menunjukkan saya negatif Covid.

Dalam pre-covid ward, berpuluh orang pesakit diletakkan bersama. Pesakit lelaki, pesakit perempuan, pesakit positif Covid, pesakit negatif Covid, pesakit mental yang agresif (sekadar fakta, tiada stigma di sini, saya juga ada isu kesihatan mental saya yang tersendiri), dan banduan lokap / tahanan polis yang bergari. Semuanya bercampur dalam satu ruang, malah kami turut berkongsi tandas. Hospital itu tiada wad lain yang boleh menempatkan saya dan saya juga tidak dibenarkan berpindah ke hospital yang lain.

Selama hampir 10 hari, saya menerima rawatan di pre-covid ward untuk penyakit saya yang tiada kaitan dengan Covid. Sebagai seorang pesakit yang turut menghidap masalah anxiety, tidak mampu hendak saya ceritakan pengalaman saya selama hampir 10 hari di wad berisiko tinggi. Apatah lagi kita seorang diri dan keluarga tidak boleh melawat atas sebab keselamatan.

Cukuplah saya katakan bahawa saya masih trauma, masih tidur meracau dan mengigau tiap-tiap malam hingga saat ini, dan badan saya kehilangan 4kg dalam jangkamasa itu.

Setelah rawatan saya di hospital akhirnya selesai alhamdulillah, ketakutan saya yang terbesar menjadi kenyataan. Ujian RTK + PCR yang kedua menunjukkan saya positif Covid. Seperti yang dijangka, saya dijangkiti di wad pre-covid.

“Keluar mulut buaya, masuk mulut harimau”

Saya mulai batuk, sakit tekak, demam seram sejuk sehingga menggigil, selsema, nafas terasa berat, dada terasa sesak, sakit kepala, hilang deria bau, dan hilang deria rasa. Dengan simptom sebanyak ini, ditambah pula dengan kadar oksigen saya yang merosot sekali-sekala, sudah pasti harapan saya untuk kuarantin di rumah yang dirindui tidak kesampaian. Saya faham keperluannya dan dengan pedih, saya perlahan-lahan belajar untuk hadam serta redha.

‘Pengembaraan solo’ saya pun diteruskan ke pusat kuarantin. Bersama saya di wad ini ada beribu-ribu lagi penghidap Covid yang lain. Insyaallah, selesai kuarantin 10 hari nanti, saya akan discharge (amin ya rabbal alamin) dan sambung fasa kuarantin di rumah selama seminggu lagi, demi keselamatan.

Kemudian barulah anak saya boleh pulang ke pangkuan saya, setelah satu bulan lamanya tidak berjumpa. Satu bulan yang saya tidak sempat membuat apa-apa persediaan mental untuk menghadapinya. Satu bulan yang paling berat dan paling lama dalam 36+ tahun hidup saya. Antara hidup dan mati saya boleh katakan bahawa tiada sakit yang boleh menandingi rasa rindu pada anak dan suami.

“Setiap hikmah dan musibah itu sudah disusun cantik oleh Allah…”

Gambar Sekadar Hiasan

Bagaimana satu kunjungan ke bahagian kecemasan di hospital boleh melarat menjadi satu bulan yang penuh dugaan. Tapi setiap hikmah dan musibah itu sudah disusun cantik oleh Allah, kan? Siapalah saya untuk menolaknya. Alhamdulillah.

Ingatlah nasihat saya. Jagalah kesihatan. Jika anda dalam situasi seperti saya (na’uzubillah min zalik), pastikan anda menerima sokongan mental yang kuat dari orang-orang yang menyayangi anda.

Elakkan mereka yang memberi positiviti toksik (boleh Google ‘positiviti toksik’ / ‘toxic positivity’ jika tidak tahu). Sabar dan redha bukan perkara yang boleh dipaksa-dipaksa dan disuruh-suruh. Terutama oleh mereka yang tidak melalui situasi sebegini. Terutama bila anda menjadi mangsa sesuatu keadaan, walhal selama ini anda seorang yang sangat berhati-hati.

Insyaallah, sabar dan redha itu anda akan perlahan-lahan belajar dengan sendiri. Penerimaan takdir adalah proses yang berlaku secara berperingkat.

Ianya antara kita dengan Allah Ta’ala. Di waktu paling peritlah kepercayaan kita diuji bahawa ketentuanNya tidak pernah sia-sia.

“Belief in the Qadhaa’ and Qadr.” (6th)
“So, verily, with every difficulty, there is relief.” (94:5)

Wani
P.S. I’m okay.

 

Sumber: Waniardy