“Saya nampak dengan mata saya…”, budak 3 tahun maut dirempuh kereta, terlepas tangan bapa

“Saya nampak dengan mata saya…”, budak 3 tahun maut dirempuh kereta, terlepas tangan bapa

Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta ketika mangsa berlari ke tengah jalan. Difahamkan, kejadian cemas itu dipercayai berlaku di Kampung Wa, Dungun, Terengganu.

 

Dirempuh sebuah kereta

Memetik laporan Astro Awani, ketika kejadian mangsa yang dikenali dengan nama Mu’tahal Assalami bersama ibu bapa dan enam orang adik-beradiknya yang lain berada di hadapan sebuah restoran untuk makan malam. Menurut bapa, Assalami Ahmad ketika dia sedang memeriksa suhu, pegangan tangan anaknya itu terlepas dari genggamannya. Anak lelakinya berusia tiga tahun itu kemudian terus berlari ke tengah jalan sebelum dia dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kancil. Difahamkan, pemandu wanita tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggarnya.

Saya sedang tulis nama, pegang anak sebelah, kemudian dia sentap tangan dan lari ke jalan, saya kejar tetapi tidak sempat. Kereta itu laju, kemudian melanggar anak, dia terpelanting. Saya angkat (tubuhnya) dan lihat anak sudah tiada.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan disahkan meninggal di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan, APJ 1987. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Sumber: Astro Awani