“Saya keja untuk duit” dibayar RM500,000 sertai Hot FM? Johan tidak mahu komen

“Saya keja untuk duit” dibayar RM500,000 sertai Hot FM? Johan tidak mahu komen

Pelawak dan penyampai radio, Johan tidak memberi komen berhubung bayaran diterima yang didakwa mencecah RM500,000 untuk berhijrah ke stesen radio Hot FM.

Menurut laporan Harian Metro, pemilik nama Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz itu sebaliknya mengakui dia mencari rezeki untuk mendapatkan duit.

 

“Soal bayaran saya no comment. Saya bekerja untuk duit, untuk anak bini saya. Sebelum ini bekerja sendiri, apabila mati saya tak tinggalkan apa-apa, cuma tinggalkan tanah perkuburan saja.
“Jadi, saya memang bekerja untuk duit. Saya memang akan pastikan orang bila dah bayar saya, berbaloi dengan hasil kerja saya.
“Sebab itu saya tak peduli, saya datang dengan ‘barang’ (pengalaman dan pengetahuan) saya, kita buat ini, buat itu. Minta maaf cakap, saya agak tegas dengan AG dan Fafau (Fara Fauzana),” katanya  yang sebelum ini berkhidmat selama 11 tahun di radio Era.

Lebih sedekad menjadi pelawak, Johan berkata dia tahu cara menyampaikan celoteh dengan sebaiknya sekali gus dapat menarik perhatian pendengar.

 

“Saya pelawak, saya faham macam mana perbualan itu nak bagi menarik. Di mana nak ‘punch line’, siapa nak bawa ‘story’ itu, perkara ini saya bentangkan kepada mereka.
“Mereka adalah penyampai radio, saya satukan sebagai pelawak dengan penyampai radio supaya ia tak bertindih dan ia berjalan lancar,” ujarnya.

Pelawak berusia 38 tahun itu berkata, antara sebab dia menerima tawaran daripada Hot FM adalah mahu menjadikan jenama radio berkenaan sebagai stesen nombor satu.

 

“Saya tamat kontrak dengan stesen radio lama pada 30 Jun lalu. Ketika itu saya merancang untuk berehat dahulu dan fokus pada perniagaan dan menguruskan anak-anak. Namun, selepas menerima tawaran…
“…selain mengenangkan hubungan baik yang terjalin antara saya dengan ‘boss’ (Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran yang mana pernah menjadi majikan saya dulu serta beberapa peluang lain, itu saya terima,” kongsinya.

 

Dalam pada itu, dia yang mengendalikan segmen pagi, Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat bersama AG dan Fara Fauzana mengakui akan menggunakan pengalaman berkenaan radio bagi membantu menaikkan ‘rating’ stesen tersebut.

Sumber: Harian Metro (Sudirman Mohd Tahir) , Instagram Hot FM & Johan