Saya disorok dalam inap desa di Laos dikelilingi sawah padi – Azi

Saya disorok dalam inap desa di Laos dikelilingi sawah padi – Azi
Mangsa culik yang dikenali sebagai Azi menceritakan dia dibawa lari ke Thailand dan Laos sebelum diselamatkan oleh pihak berkuasa negara Gajah Putih itu.Ejen kosmetik yang berusia 36 tahun itu terpaksa menaiki bot menyeberangi Sungai Golok di Pengkalan Kubor, Tumpat, bertukar-tukar kereta dan orang serta melalui jalan kebun getah dengan kepalanya ditutup menggunakan plastik hitam.Pengalaman ngeri yang dilalui oleh ibu kepada seorang anak itu menyebabkan dia masih trauma dengan apa yang berlaku.

“Kalau boleh saya tidak mahu bercerita tentang perkara ini sehinggakan pintu pagar rumah pun tidak mahu dibuka sebab fobia.

“Bagi saya ruang, bila sudah bersedia saya akan ceritakan semuanya,” katanya kepada pemberita ketika hadir bersama rombongan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Md Nawi pada Selasa.

Che Abdullah meluangkan masa selama setengah jam melawat Azi bagi bertanyakan khabar.

Menurut Azi, dia diberi makanan dan pakaian serta terpaksa tinggal di kawasan yang terdapat anjing dan babi.

Katanya, pada waktu itu dia hanya mampu menangis dan merayu minta dibawa pulang.

“Hari-hari yang saya lalui terasa panjang serta tiada beza siang dan malam,” katanya.

Ujar Azi lagi, semasa di Laos penculik memberitahu paling awal tiga minggu dan paling lama sebulan dia akan ditahan.

Azi (tiga dari kiri) menerima kunjungan daripada Che Abdullah (kanan) yang datang bertanyakan khabar pada Selasa.
Azi (tiga dari kiri) menerima kunjungan daripada Che Abdullah (kanan) yang datang bertanyakan khabar pada Selasa.

 

Katanya, di sana dia ditempatkan di sebuah inap desa yang dikelilingi sawah padi.

“Selepas beberapa hari, seorang daripada penculik itu memberitahu ‘you back home’ dan saya bertanya ‘when?’.

“Dia membalas ‘today’. Sukar untuk saya berkomunikasi dengan penculik kerana mereka tidak boleh berbahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.

Menurut Azi, dia kemudian dibawa ke Bangkok untuk diserahkan kepada pihak lain namun dalam perjalanan tersebut mereka ditahan oleh pihak imigresen (Thailand).

Katanya, kemudian dia dibawa ke depot tahanan imigresen sebelum diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di sana.

Sinar Harian pada 14 September lalu melaporkan seorang wanita berusia 36 tahun dipercayai diculik dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Palekbang.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, mangsa, Rosnazirah Mohd Naim didakwa dilarikan empat lelaki dengan menggunakan kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.