Samsuri guna ‘cable’ PM, tamatkan PKPB lebih awal di Terengganu

Samsuri guna ‘cable’ PM, tamatkan PKPB lebih awal di Terengganu

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan menamatkan lebih awal perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di negeri itu.

Ahmad Samsuri berkata, dia telah mengemukakan perkara itu kepada perdana menteri pada 15 Nov lalu dengan mengemukakan fakta berkaitan kawalan wabak itu di Terengganu.

“Berbekalkan data terakhir itu, saya telah bertemu perdana menteri pada hari Ahad 15 Nov lepas dan mengemukakan fakta berkaitan kawalan Covid-19 di Terengganu, memohon supaya PKPB di Terengganu dapat ditamatkan.

“Terima kasih kepada beliau yang sangat prihatin untuk mempertimbangkan hal ini dengan membawa dalam mesyuarat di Putrajaya.

“Hari ini, Rabu 18 Nov sekali lagi saya mengutarakan kedudukan terkini Covid-19 di Terengganu dan alasan kenapa PKPB dapat ditamatkan lebih awal dari jadual asal dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara atas talian yang dipengerusikan oleh perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 7 Nov lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dari 9 November hingga 6 Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pemimpin Umno Terengganu yang bertemu Ismail bagi menyuarakan perkara yang sama.

“Ini antara contoh kerjasama yang harus terus berlaku untuk kepentingan bersama.

“Kita akan terus berusaha dan berdoa agar dalam tempoh beberapa hari lagi satu keputusan dapat dibuat, insya-Allah,” katanya lagi.

Sumber: Malaysiakini

COMMENTS