Samseng jalanan, lelaki acu pisau kepada pemandu ditangkap

Samseng jalanan, lelaki acu pisau kepada pemandu ditangkap

Tindakan seorang pemandu lori berlagak samseng mengacukan sebilah pisau terhadap pemandu lori lain di Jalan Parang, Bandar Sultan Suleiman, Klang, membawa padah selepas dia ditangkap, malam tadi.

Tiada motif, hanya pembuli jalan raya

Suspek yang berusia sekitar 40-an itu diberkas pihak berkuasa kira-kira pukul 12.25 tengah malam tadi di sekitar Klang.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, penangkapan itu susulan laporan polis dibuat seorang pemandu lori berusia 30-an kira-kira pukul 5.15 petang, semalam.

Vijaya berkata, ketika kejadian, lori dipandu mangsa telah dipintas dan ditahan sebuah lori lain yang dipandu suspek.

Suspek dikatakan telah turun dari lori dengan membawa sebilah pisau dan terus mengugut mangsa dengan kata-kata ‘ You tak kenal lagi siapa aku, Kau tunggu aku cari kau’.

Berdasarkan siasatan mendapati motif kejadian lebih kepada pembuli jalan raya.

Tambahnya lagi, semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau mencuri motosikal, dan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Pihak polis telah mendapat tempoh reman selama tiga hari terhadap suspek dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas ugutan jenayah.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 31 saat di media sosial memaparkan aksi seorang lelaki mengacukan pisau terhadap pemandu lori yang berjaya dirakam pengguna jalan raya lain.

Video