Rupa-rupanya ini situasi sebenar Muafakat Nasional, ini pendedahan Pas!

Muafakat Nasional (MN) di Perak belum membincangkan pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini,” kata Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Menurut Razman, setakat ini belum ada arahan bagi membincangkan perkara tersebut meskipun terdapat desakan agar PRU15 diadakan segera.

“Sama ada agihan kerusi atau nama calon, kita di peringkat MN negeri tidak ada perbincangan lagi.

“Dalam hal ini, kalau kita nak kekalkan kerajaan negeri perlu duduk berbincanglah. Kena ada pertimbangan dan masing-masing mesti berlapang dada.

“Bukan lagi merasa jadi ‘big brother’ kerana dalam penyatuan parti sekarang sudah tidak ada lagi istilah ‘big brother’,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Bicara Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) di Kolej Vokasional Kerian di sini hari ini.

Razman berkata, tiga parti iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini telah berada di bawah gabungan sama mewakili parti Melayu dan sepatutnya tiada isu perebutan kerusi berlaku.

Justeru, katanya, pimpinan ketiga-tiga parti di peringkat akar umbi sewajarnya tidak membahaskan isu nama calon bertanding kerana dikhuatiri akan merosakkan hubungan perpaduan.

“Serahkan sahaja kepada pucuk pimpinan yang jelas punya lebih autoriti. Sebab itu jurucakap parti ini kena seorang sahaja. Pihak lain kita jangan ambil kira.

“Seperti di Perak, kalau sudah ada keputusan dan sudah bincang, kenyataan mesti keluar daripada Pesuruhjaya atau Pengerusi Perhubungan. Kalau di peringkat Malaysia, perlu daripada Presiden atau Setiausaha Agung,” katanya.

Sumber : Sinar Harian