Rugi hampir RM13,000 diperdaya tawaran pekerjaan tidak wujud

Rugi hampir RM13,000 diperdaya tawaran pekerjaan tidak wujud

Melaka: Angkara terpedaya dengan tawaran pekerjaan di Facebook seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kerugian hampir RM13,000 dalam kejadian awal bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, pelajar lelaki itu terpedaya selepas membuat pembayaran menebus sejumlah wang yang kononnya sebagai pendapatannya berjumlah RM17, 290. 13.

Beliau berkata, sebelum itu mangsa berusia 23 tahun terlihat iklan peluang pekerjaan ketika melayari Facebook menerusi aplikasi EZJOB.

“Berminat dengan tawaran itu mangsa kemudian berurusan dengan suspek melalui WhatsApp sebelum diminta melakukan 60 tugasan dalam aplikasi berkenaan.

“Setiap tugasan dijanjikan akan mendapat wang dan tugasan yang mangsa perlu lakukan hanya perlu ‘LIKE’ video serta melihat iklan,” katanya melalui kenyataan media.

Menurut beliau, selepas selesai kesemua 60 tugasan itu mangsa kemudian dimaklumkan mendapat pendapatan bagaimanapun perlu menebus wang dalam aplikasi itu tetapi sebelum itu perlu membuat pembayaran terlebih dahulu.

“Sehari selepas itu iaitu pada 4 Mei 2021 mangsa kemudian membuat lima kali transaksi pembayaran berjumlah RM12, 810 ke akuan bank diberikan oleh suspek.

“Mangsa dikatakan membuat pembayaran itu dengan menggunakan wang simpanannya serta ahli keluarga yang lain,” katanya.

Sundra Rajan berkata, walaupun pembayaran sudah dibuat, suspek memberitahu kepada mangsa jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menebus pendapatan diterima olehnya dan perlu membuat pembayaran lagi.

“Mangsa bagaimanapun tidak mengikut arahan itu dan meminta wangnya dipulangkan semula namun suspek terus gagal dihubungi.

“Mangsa yang merasa ditipu kemudian tampil ke Balai Polis Merlimau, Jasin untuk membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain perlu lebih berhati-hati dalam membuat sebarang pembayaran dan terlebih dahulu membuat semakan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.