Ronaldo pecah rekod Pele

Cristiano Ronaldo mengatasi rekod Pele untuk menjadi penjaring kedua terbanyak selepas meledak dua gol untuk Juventus ketika menentang Udinese.

Penyerang 35 tahun Portugal itu menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-1 untuk Juventus terus mencabar kelompok empat teratas Serie A.

Gol berkenaan memastikan Ronaldo mengatasi rekod 757 gol rasmi Pele ketika mewakili Santos, New York Cosmos dan Brazil dari tahun 1956 hingga 1977.

Ronaldo kini mengumpul 758 gol, satu gol di belakang rekod sepanjang zaman Josef Bican yang meledak 759 gol dari tahun 1931 hingga 1955.

Bagaimanapun Ronaldo dilihat mampu mengatasi rekod itu menjelang pertemuan dengan AC Milan dan Sassuolo minggu depan.

Lebih separuh daripada jaringan Ronaldo hadir ketika karier sembilan tahunnya bersama Real Madrid di Bernabeu.

Selebihnya adalah ketika menyarung jersi Sporting Lisbon, Manchester United, Juventus dan 102 gol di pentas antarabangsa bersama Portugal.

Rekod baharu itu hadir hanya beberapa minggu selepas Lionel Messi mengatasi rekod Pele untuk jumlah jaringan bagi sesebuah kelab.

Pele meledak 643 gol untuk Santos tetapi Messi mengatasinya dengan 644 gol bersama Barcelona sebelum Krismas lalu.

Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/01/772174/ronaldo-pecah-rekod-pele?fbclid=IwAR2PYgv4X6jSKHDzZO5WM8js_TjEDZID8tzAyKvTbsGLHE2MWqYj2AEaZj0