Rider jual telefon buat balik modal, ditipu beri duit palsu
Impian seorang penghantar makanan untuk membuka perniagaan hasil dari keuntungan menjual telefon bimbit tidak kesampaian selepas ditipu oleh pembeli wanita yang memberinya wang kertas palsu.
Menerusi hantaran dimuat naik Asyraff Akra di Facebook pada Selasa lalu, dia memaklumkan telah menerima beberapa keping wang kertas RM100 palsu.
“Dugaan terkena atas diri sendiri, jual telefon bimbit untuk jadikan duit permulaan berniaga sekali kena tipu. Wang kertas RM100 itu duit palsu, RM50 sahaja yang betul.
“Serius aku tak perasan, silap aku terlalu percaya manusia bertudung litup. Sama bangsa pun nak tipu.
“Tidak apa lah kakak dan abang, selamat maju jaya merangkak mencari aku dan isteri aku di padang mahsyar nanti,” katanya.
Asyraff juga dilihat berkongsi nombor telefon pembeli tersebut sebagai peringatan buat orang ramai.
“Itu sahaja aku ada. Silap tak tangkap gambar atau apa sebab sepanjang aku buat jual beli tak pernah kena macam ini. Pengajaran,” luahnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai turut berkongsi pengalaman masing-masing apabila pernah diberi wang kertas palsu terutama ketika berniaga.
“Saya berniaga pasar malam, juala makanan, itu pun ada yang bayar guna duit palsu, bab makan pun buat main, haram masuk dalam badan jadi darah daging,” kongsi Syafina.
“Ingat lagi, ada seorang pelanggan bayar guna wang kertas RM50 palsu masa beli baju, akhirnya ‘boss’ semak, sekali aku yang kena ganti balik harga baju tersebut. Salah aku, sebab tak semak betul-betul,” ujar Haziq67.