Remaja pengsan di sekolah bongkar dirogol bapa kandung

Remaja pengsan di sekolah bongkar dirogol bapa kandung

 

 

Insiden pengsan di sekolah membongkarkan perbuatan rogol seorang bapa kandung terhadap remaja perempuan sejak empat tahun lalu.

Kejadian membabitkan pelajar tingkatan dua yang didakwa menjadi nafsu serakah bapa kandung sejak berusia 11 tahun lagi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan pada 11.55 pagi semalam daripada guru dan pelajar berkenaan.

“Pada pagi semalam, mangsa pengsan di sekolahnya dan sebaik sedar, gurunya bertanyakan keadaannya sebelum remaja itu memberitahu dia menjadi mangsa rogol bapa kandungnya.

“Kejadian terbaharu pada 2 pagi semalam yang mana suspek yang berusia 39 tahun memasuki bilik mangsa dan merogolnya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya membuat tangkapan terhadap suspek yang bekerja sebagai tukang rumah di perkarangan Hospital Tanah Merah, petang semalam.

Katanya, mangsa tinggal bersama suspek dan ibu tiri serta empat saudara tiri lain dan suspek mengaku merogol mangsa sebanyak tiga kali dalam tempoh empat tahun.

“Mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati kesan koyakan lama. Ujian saringan yang dibuat mendapati negatif dan suspek juga tiada rekod lampau.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Jun ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan (KK),” katanya.