Remaja melecur dibakar rakan kerana dituduh mencuri duit
Seorang remaja melecur pada bahagian leher dan badan dipercayai dibakar rakan dekat Perasing Jaya, Jabor, Kemaman, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, remaja yang melecur itu pulang ke rumah meminta pertolongan keluarga kira-kira jam 3 pagi.
Menurutnya, bapa mangsa terkejut selepas melihat keadaan anaknya yang melecur dari leher hingga ke belakang.
“Mangsa yang menangis kesakitan menceritakan badan dibakar oleh rakan.
“Siasatan awal polis mendapati badan mangsa dibakar beberapa rakannya yang menuduhnya mencuri wang berjumlah RM100,” katanya.
Hanyan berkata, mangsa dipercayai disimbah cecair dipercayai petrol sebelum dicucuh api yang menyebabkan badan mangsa melecur.
“Berikutan itu, polis menahan enam individu termasuk suspek utama berusia 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati kesemua mereka negatif dadah,” katanya
Katanya, polis giat memburu beberapa lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
“Mangsa kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang,” katanya.