Remaja lelaki disenduk peniaga selepas campak dulang

Remaja lelaki disenduk peniaga selepas campak dulang

 

Tular satu video yang memaparkan seorang peniaga bertindak nekad memukul remaja lelaki yang merupakan pelanggannya dengan menggunakan senduk dalam kejadian di sebuah kedai kopi di Sengkang, Singapura.

Kejadian yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu memaparkan penjaja tersebut sedang bertengkar dengan seorang pelanggan, lapor Mothership.

Sebelum kejadian, peniaga itu pada awalnya dilihat sedang memasak mi di kedai kopi tersebut.

Tidak lama kemudian, kelihatan seorang pelanggan berbaju hitam datang ke gerainya dan berbual sebelum berlaku pertengkaran.

Penjaja itu seterusnya menghempas perkakas yang digunakan untuk mengacau mi. Tindakan tersebut telah membuatkan pelanggan itu melemparkan satu dulang makanan ke arahnya.

Malah, penjaja itu juga dilihat membawa senduknya dan melangkah keluar dari gerai untuk berhadapan dengan pelanggan itu.

Dia mula memukul kepala pelanggan itu berulang kali dengan menggunakan alat memasak tersebut.

Walau bagaimanapun, punca pertengkaran mereka tidak dapat dipastikan memandangkan video itu tidak mempunyai suara.

Sementara itu, dalam satu video yang lain, seorang wanita yang dipercayai ibu kepada pelanggan yang dipukul telah berhadapan dengan penjaja tersebut.

“Kenapa awak pukul anak saya, kenapa? Anda yang mulakan pergaduhan dahulu, bermakna anda yang salah, jangan banyak bercakap,” kata wanita itu.

Pertengkaran kemudian berakhir dengan wanita itu meminta lelaki tersebut menghubungi pengurusnya dan mendakwa bahawa dia akan menghubungi polis.

Menurut Mothership, polis telah pergi ke kedai kopi itu untuk melakukan siasatan dan pelanggan yang dipukul telah pun dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, penjaja itu juga didakwa telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

@utusantvofficial

Lambat dapat makanan gamaknya. Kejadian di Sengkang, Singapura | 24 APR 2022. #beritaditiktok #TrendingNewsMalaysia #fyp

♬ Laper Laper Ha – Faiha