Rasuah projek solar, Rosmah didapati bersalah atas 3 pertuduhan

Rasuah projek solar, Rosmah didapati bersalah atas 3 pertuduhan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis memutuskan Datin Seri Rosmah Mansor bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hybrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah diakhir kes pembelaannya.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pembantu peribadinya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah, 71, didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 September 2017.‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Disember 2016. – Sinar Harian