Ramai tak tahu syarat-syarat nak naik taraf lesen B2, B1 ke B ‘Full’

Ramai tak tahu syarat-syarat nak naik taraf lesen B2, B1 ke B ‘Full’

 

Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LLM) kelas B2 dan B1 kini boleh menaik taraf lesen menunggang masing-masing ke kelas B Penuh atau B Full bermula 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, mereka perlu terlebih dahulu melalui satu program khas yang ditetapkan oleh kementeriannya sebelum layak beralih ke lesen B Penuh.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum pemegang lesen motosikal B1 dan B2 boleh menyertai program khas berkenaan.

Syarat-syarat naik taraf B1, B2 ke B Full adalah seperti berikut:

  • Pemohon merupakan pemegang LLM B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh minima 10 tahun. Syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan motosikal pemegang lesen.
  • Pemohon juga hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333 (Akta Pengangkutan Jalan).
  • Pengesahan sihat tubuh badan, fizikal dan minda yang dibuat secara deklarasi sendiri. Pemohon perlu mengisi borang yang mengesahkan mereka sihat.
  • Perlu hadir dan lulus program peralihan dan penyesuaian ke motosikal berkuasa tinggi 500cc ke atas di institut-institut memandu.
  • Antaranya termasuklah amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pemanduan serta pengorperasian motosikal berkuasa besar. Tempoh amali adalah 2 jam.
  • Setelah selesai semua proses yang dinyatakan, kelayakan anda untuk beralih dari lesen B1 atau B2 ke B Full akan ditentukan oleh Pegawai Terlatih Bertauliah daripada JPJ.

Bayaran dikenakan adalah RM160 termasuk bayaran JPJ

Manakala bayaran yang dikenakan untuk program khas ini adalah sebanyak RM160, termasuk bayaran RM10 kepada JPJ.

Pemohon yang gagal latihan amali selama 2 jam itu perlu mengambil semula latihan amali berkenaan dengan bayaran yang sama.

Selain itu, pemohon juga hanya dibenarkan mengambil ujian amali sekali dalam sehari. Mereka yang gagal perlu mengulangi ujian amali berkenaan pada hari yang lain.