Pelakon Puteri Sarah berkata dia akan tetap meneruskan tindakan saman terhadap wanita yang didakwa menganggu rumah tangganya iaitu Ira Kazar.
Memetik Kosmo, meskipun proses mahkamah memakan masa panjang sehingga tahun depan untuk kes berkenaan naik mahkamah namun dia tetap meluahkan rasa syukur kerana dilindungi undang-undang daripada terus dibuli.
“Saya tidak akan tarik balik dakwaan dan akan teruskan sehingga perbicaraan. Saya pun sudah dapat tarikh untuk perbicaraan di mahkamah iaitu pada Ogos tahun depan.
“Mahkamah sibuk sekarang. Tapi saya sudah dapat tarikh perbicaraan iaitu pada 25, 28 dan 29 Ogos tahun depan. Bagaimanapun perintah injunksi interim tetap berjalan. Alhamdulillah saya rasa dilindungi.
“Saya bersyukur kerana dilindungi undang-undang sebab kalau tidak, mungkin saya akan terus ‘dilanyak’. Jadi walaupun perbicaraan lambat, saya okey dan akan teruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata dia gembira dengan kehidupannya ini namun enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai kehidupannya bersama suami.
“Tentang itu (bersama suami), kita tengok nanti macam mana. Tapi buat masa sekarang saya gembira dengan kehidupan saya,” katanya.