Pusat kurier hilangkan barang, wanita ini berjaya dapatkan semula parcel dengan cara ini

Pusat kurier hilangkan barang, wanita ini berjaya dapatkan semula parcel dengan cara ini

Sejak akhir-akhir ini, terdapat banyak kejadian yang kian mendapat perhatian dalam kalangan netizen berkaitan isu parcel yang kerap hilang.

Isu ini merupakan masalah besar yang berlaku melibatkan penggunaan pusat servis kurier. Ramai mendakwa barangan mereka kerap rosak mengakibatkan masyarakat terpaksa menanggung kerugian itu sendiri.

Berhubung dengan itu, masyarakat mula menzahirkan rasa kecewa terhadap masalah itu sehingga bertindak ingin memboikot sesetengah syarikat servis kurier.

Parcel hilang

Terbaharu, tular di laman Twitter baru-baru ini apabila seorang pengguna bernama @AmallinaAzman turut berkongsikan masalah yang sama berlaku.

Menerusi hantaran itu, dia mendakwa pusat kurier J&T Ampang telah menghilangkan barang miliknya serta disuruh untuk mengisi borang ganti rugi.

Selain itu, dia juga memaklumkan bahawa pihak syarikat kurier itu sekadar mampu menawarkan claim berjumlah RM100 sehingga RM300 atau hanya menanggung duit penghantaran sahaja.

Menurutnya lagi, perkara yang menambahkan kemarahannya ialah ganti rugi yang ditawarkan tidak mengikut harga barangan dan terpaksa menanggung kerugian.

Melaporkan kepada SKMM

Bertindak dengan situasi itu, wanita tersebut telah melaporkan isu berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Hal itu kerana ganti rugi yang ditawarkan berjumlah RM300 itu dilihat tidak berbaloi sekiranya kehilangan barang yang mungkin harganya lebih tinggi daripada itu.

Walaubagaimanapun, laporan yang dibuatnya itu dilihat berhasil apabila pihak syarikat kurier itu bertindak menghantar kembali barangannya.

Wanita itu turut berkongsikan langkah-langkah yang boleh dibuat oleh masyarakat bagi mendapatkan semula barangan yang hilang atau tidak diterima dalam tempoh masa yang lama.

Langkah-langkah apabila barangan hilang

Menurutnya lagi, para pengguna servis kurier yang membuat aduan kepada SKMM, mereka berpeluang mendapatkan ganti rugi sehingga RM5,000 mengikut harga barangan.

Perkara itu jelas lebih memberikan manfaat kepada pengguna daripada menerima ganti rugi yang ditawarkan oleh syarikat servis kurier itu.

Bagi memudahkan pengguna, anda hanya perlu klik di sini bagi membuka peluang untuk membuat aduan kepada SKMM.

Diharap perkara ini dapat segera diselesaikan oleh sesebuah syarikat servis kurier agar isu barangan hilang tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

Kredit: Twitter @AmallinaAzman