Pukul pelakon remaja guna penyangkut baju, bapa dirujuk ke IPD Shah Alam

Pukul pelakon remaja guna penyangkut baju, bapa dirujuk ke IPD Shah Alam

Bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan yang ditahan minggu lalu, dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa berusia 15 tahun membuat laporan itu pada 8 September lalu.

“Lelaki itu akan diserahkan kepada IPD Shah Alam untuk siasatan berhubung laporan polis oleh mangsa (anaknya) dipukul suspek menggunakan penyangkut baju pada 2014.

“Permohonan reman akan dibuat esok,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat ketika dihubungi BH berkata, reman terhadap suspek tamat hari ini.

“Bagaimanapun, dia akan diserahkan kepada IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut susulan satu lagi laporan polis dibuat terhadap dirinya,” katanya.

Sebelum ini, bapa kandung pelakon remaja perempuan terbabit ditahan pada 6 September lalu atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anaknya.

Suspek ditahan di kediamannya di Kedah dan polis turut merampas telefon bimbit suspek dan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

Baru-baru ini, pelakon itu menerusi satu temu bual di laman YouTube, mendedahkan sikap buruk bapanya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya, selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.