Pukul isteri guna wayar pengecas telefon, dipenjara 8 bulan

Pukul isteri guna wayar pengecas telefon, dipenjara 8 bulan

Isu keganasan rumahtangga bukanlah suatu isu yang remeh kerana hal ini boleh menyebabkan kecederaan bahkan kematian jika dibiarkan. Hal ini berhubung dengan satu kejadian yang berlaku terhadap sepasang suami isteri di Selangor.

Menerusi laporan Harian Metro, seorang lelaki bertindak memukul isterinya menggunakan wayar pengecas telefon bimbit dan dipenjara selama lapan bulan oleh Mahkamah Majistret. Lelaki warga Pakistan sekaligus juga merupakan seorang penganggur itu mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh Majistret Zhafran Rahi Hamzah.

Tertuduh, Mohamad Irfan, 28, bertindak mencederakan isterinya Gupreet Kaur, 25 dengan memukul belakang badan wanita terbabit menggunakan wayar pengecas telefon.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka bertempat di Jalan Bandar Puteri, Puchong pada jam 11 malam, 25 September 2020 mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Sebelum ini, Mohamad Irfan yang bekerja sebagai pemasang kipas siling diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh penangkapan iaitu 26 September 2020.

Berdasarkan fakta kes, pada 26 September tahun lalu, isteri lelaki berkenaan dipercayai dikunci di luar rumah bersama anaknya selepas dipukul di bahagian belakang badan dan kaki oleh suaminya. Akibat daripada itu, dia terus melaporkan kepada polis berhubung kejadian.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Maat memohon hukuman berat kerana kecederaan yang serius terhadap mangsa namun peguam, Ammanjeet Singh mohon supaya hukuman diringankan atas alasan anak guamannya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.

Kredit : Harian Metro