Puad Zarkashi dakwa Saifuddin pewalak Azmin tahap dewa
Bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Mohd Puad Zarkashi meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah supaya tidak apologetik berhubung Jasa kerana menurutnya ia memang agensi politik kerajaan.
Katanya, Saifuddin tidak perlu defensif bahawa Jasa tidak mempunyai kaitan politik kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saifuddin Abdullah tidak perlu defensif bahawa Jasa tidak ada kaitan politik kepada kerajaan.
“Dalam kenyataannya, Jasa akan bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi kerajaan secara strategik. Itu memang tujuan Jasa. Ia tetap dikaitkan dengan politik. Jangan apologetik.
“Isunya ialah peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada Jasa terlalu besar. Bajet itu tidak sensitif kepada ‘keutamaan’ tatkala negara dilanda gelombang tiga Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia mempertahankan rancangan untuk menyakitkan kembali Jasa dengan menekankan bahawa Jasa tidak akan bermotifkan politik.
Bersatu juga memberi jaminan bahawa ia tidak akan menjadi alat propaganda seperti kerajaan pada masa lalu.
Dalam pada itu, Mohd Puad berkata setiap kerajaan memerlukan memerlukan beberapa agensi sebagai lidah penyampai dasar dan inisiatif kerajaan seperti Jasa.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menutup Jasa kerana “membalas dendam”.
“Sebab itu DAP tutup Jasa sebagai balas dendam kerana Jasa paling aktif menjawab pembohongan DAP melalui media sosial,” katanya lagi.
Bagaimanapun kata Mohd Puad isu Jasa menjadi hangat bukan saja disebabkan peruntukan melampau, malah dikaitkan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali.
“Ada dakwaan, Dr Afif Bahardin bakal menjadi ketua pengarah Jasa. Dia pentaksub Azmin. Sebab itu Azmin dituduh di belakang tabir Jasa dapat RM85.5 juta.
“Lagi pun Saiffuddin Abdullah selaku menteri KKMM adalah pematuh Azmin tahap dewa. A kata Azmin, maka A++ kata Saifuddin.
“Justeru Jasa tidak perlu peruntukan sebesar RM85.5 juta kecuali kalau ada tujuan lain. Yang penting keberkesanan. PM (Perdana Menteri) kena jawab secara terperinci di parlimen,” tambah Mohd Puad lagi.
Sumber: Malaysiakini