PU Riz akui pernah terima tawaran ke G4z4 bersama Neelofa, Ebit Lew Jun lalu

PU Riz akui pernah terima tawaran ke G4z4 bersama Neelofa, Ebit Lew Jun lalu

Pendakwah bebas Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau mesra disapa PU Riz mengakui mendapat tawaran serta menyertai perbincangan untuk menjalankan misi bantuan ke Gaza bersama isterinya, Neelofa, penyanyi, Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Ustaz Ebit Lew pada Jun lalu.

Memetik penulisan URTV, pendakwah berusia 26 tahun itu menjelaskan tawaran itu diperolehi daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM Malaysia) dan sudah menjalankan perbincangan secara dalam talian.

“Betul saya dan isteri dapat tawaran, tetapi tak dapat diteruskan”

“Sejujurnya, betul saya bersama isteri dan beberapa selebriti lain termasuk Ebit mendapat tawaran untuk ke Gaza. Dan pergerakan ke sana juga dijadual pada Jun. Namun, saya dimaklumkan projek ini tidak dapat diteruskan atas beberapa sebab.
“Kemudian, saya dapat tahu Ebit bersama pasukan dapat ke sana bagi menjayakan misi mereka. itu adalah rezeki mereka,” katanya kepada URTV.

Selain mengesahkan jemputan tersebut, PU Riz turut berharap agar orang ramai berhenti membuat pelbagai spekulasi terhadap isu berkenaan.

“Cukup untuk saya jelaskan yang mana memang saya bersama yang lain termasuk Ebit dijemput untuk ke sana. Apa yang berlaku selepas itu, saya tidak ada pengetahuan apa-apa mengenainya.
“Saya harap perkara ini jelas dan orang ramai berhenti untuk membuat spekulasi. Saya berdoa semoga segala kebaikan yang kita kerjakan mendapat keredaan Allah,” katanya.

Terdahulu nama PU Riz, Neelofa, Heliza dan Hazwani disebut penyanyi rap, Caprice dalam hantaran di Instagram Story yang mendakwa mereka sepatutnya ke Gaza bersama Ebit.

Pendedahan itu sekali gus menimbulkan pelbagai tanggapan selain ada yang mendakwa Ebit mengambil kertas cadangan berkenaan bagi tujuan menjayakan misi sendiri.

Sumber: URTV (Anna Mohamed)