Bagaimanapun, lain pula apa yang dikehendaki oleh pengundi di Sabah yang sebaliknya mengharapkan ia disudahi dengan ‘menang tanpa bertanding’.
Penganalisis Politik Sabah, Dr Romzi Ationg berkata langkah yang dituntut pengundi di Sabah itu jauh sekali tidak akan menjejaskan proses demokrasi.
Katanya lagi, situasi risiko COVID-19 di Sabah yang masih memuncak adalah waktu sesuai untuk kesemua ahli politik berlapang dada dan mencari solusi menyelesaikan isu pandemik itu.
“Harapan rakyat Sabah ialah kerelaan mana-mana presiden parti di negeri ini memberi satu situasi di mana menang tanpa bertanding boleh dilakukan.
“Demokrasi itu tidak akan rosak dengan adanya kes seperti ini malah kejadian menang tanpa bertanding ini adalah perkara biasa,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Dalam pada itu, Romzi turut beranggapan langkah itu akan lebih mendatangkan kesan positif di kalangan rakyat terhadap ahli politik.
Tambahnya, keputusan itu juga tidak menjejaskan mereka memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) juga akan dilaksanakan dalam tempoh kurang daripada tiga tahun.
“Kita berhadapan dengan keadaan rakyat akan lebih melihat ahli politik yang berlapang dada sebagai wajar dihormati.
“Sudah pasti pada pilihan raya akan datang dengan langkah itu mampu menarik lebih ramai pengundi,” katanya lagi.
Sabah merupakan antara negeri tertinggi merekodkan kes penularan COVID-19 dan ia juga merupakan gelombang yang dikatakan berpunca daripada pelaksanaan PRN Sabah pada September lalu.