PRK Batu Sapi : Dap pula bidas Bersatu

Timbalan Ketua Pemuda DAP, Chiong Yoke Kong membidas kenyataan pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) yang mengatakan bahawa pengisytiharan darurat merupakan satu-satunya langkah selamat untuk mengelakkan pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi diadakan.

Chiong menyifatkan kenyataan dari Pengerusi Biro Perundangan Armada, Mohamad Siddiq Mohamad Azani semalam membuktikan Bersatu sebuah parti yang gila kuasa dan sanggup berpolitik tanpa mengira masa sehingga mengabaikan rakyat.

“Mohamad Siddiq memberi alasan bahawa sekalipun BN atau PN tidak meletakkan calon pada PRK Batu Sapi kali ini, ia tidak menghalang calon-calon bebas dan parti-parti tempatan lain yang ada di Sabah untuk meletakkan calon mereka.

“Saya ingin mengingatkan Mohamad Siddiq bahawa BN, Pakatan Harapan, Parti Cinta Sabah, STAR dan SAPP telah mengumumkan tidak meletakkan calon pada PRK Batu Sapi kali ini.

“Sekiranya parti-parti utama dalam negeri tersebut sudi memberi laluan kepada Warisan, tentulah boleh mengurangkan kempen-kempen yang berkemungkinan besar mencemaskan lagi wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Siddiq mengeluarkan kenyataan tersebut ketika mengulas pandangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan bahawa PRK Batu Sapi tidak perlu diadakan sekiranya semua parti mengambil keputusan tidak bertanding dan memberi laluan kepada Warisan memenangi kerusi itu.

Bagaimanapun, Mohamad Siddiq berpendapat cadangan Mohamad tersebut adalah tidak munasabah.

Chiong mempersoalkan mengapa Bersatu begitu terdesak sehingga inginkan pengisytiharan darurat di seluruh negara semata-mata untuk mengelakkan PRK Batu Sapi.

Katanya, Bersatu sewajarnya memberikan laluan kepada Warisan demi kebaikan dan kepentingan rakyat di saat negara berdepan dengan wabak yang mengancam nyawa rakyat.

“Saya ingin menasihatkan Bersatu dan Armada supaya mempamerkan kematangan politik dan berhenti bermain politik ketika negara masih lagi diselubungi wabak Covid-19,” katanya.

Sumber: Malaysiakini